Tuesday, April 08, 2014

BATU-BATU PENUNJUK JALAN


Maalim Fi Taariq merupakan karya terakhir Syed Qutb. Diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris sebagai Milestone dan tersebar semerata dunia sebelum diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa.

Bertitik tolak daripada falsafah bahawa krisis nilai yang wujud adalah hasil dari pertembungan Islam dengan jahiliah. Menjadi tugas setiap mukmin untuk berjuang meruntuhkan jahiliah dan di atas keruntuhan itu didirikan Islam.

Buku ini ditulis bagi menyambut uslub dakwah yang telah diperinci oleh Hassan alBanna. Uslub paling sistematik yang mengambil kira pelbagai uruf yang sentiasa berubah sepanjang zaman.

Meskipun pendekatan yang dipilih oleh Hassan alBanna adalah paling aman tanpa pertumpahan darah, namun ia tetap dicurigai oleh jahiliah. Malah oleh mereka yang dikalung title ulamak. Sehingga ada yang sanggup berfatwa bahawa setiap orang yang telah diracuni fikrah Hassan alBanna adalah halal darahnya. 






  

Sunday, April 06, 2014

USRAH

Usai berusrah mereka singgah di masjid. Duduk di beranda masjid sambil berbincang apa yg telah diutarakan oleh naqib. Perbincangan berlarutan hingga pukul 1:30 pagi.

Tiba di rumah dia mengetuk pintu perlahan. Memberi salam. Juga perlahan. Dia tahu isterinya mudah terjaga. 

"Oiii.. orang lain usrah juga..Tapi tak lah sampai jam 2 pagi!" Kasar. Tapi di telinganya kedengaran suara isterinya itu sangat merdu. Belum pernah rasanya semerdu itu.

Sebelum melelapkan mata dia berdoa. Dan juga berazam. Esok, Seusai solat Subuh, berus segala pakaian yang terendam di bilik air. Sesudah itu menjemur kain dan mengemas rumah. Kemudian dengan senyuman manis bertanya isteri apa yang dia nak makan hari ini. Pergi ke pasar beli segala bahan untuk memasak. Kemudian tolong isteri memasak. Lepas makan akan kemaskan dapur dan basuh pinggan mangkuk jika perlu.

Senyum. Ya, esok. Dia akan jadi lelaki yang baru. Dia akan buktikan kepada isterinya bahawa usrah telah berjaya merubah sahsiahnya.

Tuesday, March 25, 2014

TRAJIS




Amat tragis bila tentera dikuasai oleh orang zalim. Sebab rakyat selamanya tidak akan mampu berdepan dengan tentera. Tentera punya segala kelengkapan untuk membunuh.

Lebih tragis lagi bila Mufti Besar dan Sheikhul Al-Azhar juga dilantik oleh tentera. Hakikatnya, mereka tidak punya banyak pilihan. Sama ada bersetuju dengan segala tindak tanduk tentera atau mati!

Dalam keadaan sebegini ketua negara juga perlu dilantik oleh tentera. Janganlah rakyat cuba-cuba nak pilih Presiden negara mereka.

Ingat, Mufti Besar, Sheikhul Al-Azhar malah Ketua Hakim Negara tak punya banyak pilihan. Setuju dengan segala tindak tanduk tentera atau mati!



Sunday, March 23, 2014

GAJI



Contoh. Kita bekerja sebagai seorang guru. Pastikan kita punya beberapa motif mengapa kita menjadi guru. Motif utama tentunya untuk mendapat gaji. Adanya motif utama ini menunjukkan kita telah mematuhi fitrah sebagai seorg manusia. Kalau tidak kita akan tergolong sebagai manusia abnormal. Atau manusia yang punya tabiat luar tabi'ie.

Setiap kali hendak memulakan pengajaran kita hendaklah berniat. Jika murid kita adalah muslim, berniatlah supaya pengajaran kita nanti akan menjadikan murid kita lebih bertakwa. Kalau murid kita non-muslim, berniatlah bahawa segala pengajaran kita adalah untuk menjadikan mereka berjinak dengan Islam. Disamping itu berniatlah juga supaya penat jerih kita itu akan membuatkan murid2 kita dpt menguasai segala ilmu dan kemahiran yang kita ajar agar mereka cemerlang dalam peperiksaan. Semoga mereka akan menjadi aset kepada kebangunan Islam.

Itu hanya contoh. Kalau kita bukan guru, fikirkanlah bagaimana untuk adaptasi method di atas. Supaya kita tidak hanya menerima gaji dunia tetapi juga menerima gaji akhirat.

Wallahhu'allam.

Monday, March 10, 2014

KASSIM, ASTORA, ZAM






Persamaan yang amat ketara antara Kassim Ahmad, Astora Jabat, Zainudin Maidin dan Mahathir ialah rasa tidak senang mereka akan idea2 Islamis yg didokong oleh Anwar. Namun, Mahathir masih tetap memerlukan Anwar untuk mengimbangi pengaruh Tengku Razaleigh.


  Sesudah Tengku Razaleigh berjaya dilumpuhkan, golongan korupsi dan anti-Islamis akhirnya berjaya meyakinkan Mahathir bahawa Anwar amat merbahaya. Maka terjadilah tragedi yang kemudiannya telah merubah lanskap politik negara.

Friday, February 14, 2014

ALI AHMAD

Dalam dunia persuratan Melayu Malaya, ada 3 orang Ali Ahmad yg agak terkenal. Yang paling tersohor ialah Dato'Ali Hj Ahmad Menteri Kebudayaan dan Sukan yang terkorban dalam tragedi Tanjung Kupang. Beliau pernah menjawat jawatan sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum bergerak cergas dalam politik. Dalam dunia penulisan kreatif, beliau pernah menggunakan nama pena Aha. Bagaimanapun, beliau lebih dikenali dalam bidang kajian sastera. Banyak menyusun dan menyunting buku kajian kesusasteraan Melayu. Antaranya ialah Puisi Baharu Melayu , Rintisan (antologi cerpen sebelum Perang Dunia Kedua) dan Disekitar Pemikiran Kesusasteraan Melayu (kumpulan esei).
Aha
Ali Ahmad yang kedua ialah Ali Ahmad 'al-Arqam'. Menggunakan nama pena Nora, beliau lebih dikenali dalam menghasilkan karya kreatif novel, cerpen dan sajak. Novelnya yang terkenal ialah Gelandangan. Penyertaan Pak Nora dalam jemaah al-Arqam dikatakan banyak menyumbang kepada jemaah tersebut untuk meluaskan skop dakwah terutama melalui media sastera. Hari2 akhir hidup beliau agak mencabar bila diisytiharkan muflis dan bungalownya disita kerana dijadikan cagaran untuk jemaah al-Arqam membuat pinjaman bank dan jemaah tersebut tidak mampu melunasi pinjaman. Ia berlaku sesudah jemaah al-Arqam diharamkan dan Pak Nora sudahpun mengisytiharkan diri keluar dari jemaah al-Arqam.

Nora
Ali Ahmad yg ketiga ialah penulis yang menggunakan nama pena Alis Murni. Profesor di USM ini banyak memberi tumpuan dalam kajian puisi. Selain menulis puisi, beliau juga menghasilkan novel dan cerpen. Antara karya Dr Ali Ahmad ialah Letusan (novel), Kuala Lumpur (sajak - antologi bersama),  Hikayat Inderaputera (penyunting), dan  Bahasa Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu  (Esei kritikan).
Alis Murni

Thursday, February 13, 2014

REKOK WOK



Lafaz sumpah pada zaman kami kanak-kanak kebanyakannya diringkaskan. Tapi kami cukup faham maksudnya. Lafaz 'kapir ah' atau 'kapir serani ah' bermaksud jika benar-benar kami melakukan kesalahan sebagaimana yang dituduh, kami rela menjadi kafir. Lafaz 'rekok ah' atau 'rekok wok ah' pula bemaksud kami rela cacat seumur hidup dengan tangan menjadi 'rekok' iaitu terpulas ke belakang dalam keadaan kejang dan tidak dapat digerak atau diluruskan.

Kami tidak pasti asal usul lafaz-lafaz sumpah tersebut. Namun ia tetap menjadi senjata ampuh untuk kami meyakinkan pihak pendakwa bahawa kami di pihak yang benar.

Zaman berubah. Kanak-kanak zaman sekarang tak lagi main dengan sumpah-sumpah sedemikian. Itu semua cerita kebodohan kami di zaman kanak-kanak. Namun kami rasa tahap kebodohan kami itu tidaklah seteruk kebodohan orang dewasa zaman sekarang bermain dgn sumpah.

Friday, February 07, 2014

POK MUD KAMPUNG LAUT


Pok Mud Kampung Laut kembali ke rahmatullah sesudah berkelana di muka dunia selama lebih 70 tahun.  Saya rapat dengan Pok Mud atas dua faktor. Pertama, sebab saya suka roti canai yang ditebarnya. Kedua, kami pernah berkongsi hobi yang sama iaitu merakam video menggunakan handycam. Kami sama-sama memiliki Sony Handycam Digital 8.

Pok Mud pernah bercerita kepada saya kegetiran hidup zaman remajanya. Pernah berkelana ke benua Siam mencari ayahnya yang menghilang di sana. Misi yg hampir mustahil itu ditakdirkan menemui kejayaan. Pok Mud tinggal bersama ayahnya di Siam dan bertemu jodoh di sana sehinggalah kemudiannya meringkuk di dalam penjara sesudah menjadi mangsa kepada satu konspirasi. Beliau berjaya lolos dari penjara dan pulang ke Malaya setelah pihak tertentu berjaya merasuah pihak berkuasa di Siam.

Sejak kematian Pok Mud saya belum lagi pekena roti canai di kedai makan yang kini diwarisi oleh anaknya. Saya percaya kualiti roti canai di kedai tersebut masih setaraf dengan roti canai tebaran almarhum Pok Mud Kampung Laut.

Tuesday, February 04, 2014

KAJANG BERLIPAT


Kajang berlipat hanya mampu dimiliki oleh golongan elit. Dipasang bila diperlukan dan bisa dilipat bila perahu mahu diluncurkan lebih laju. Berbeza dengan perahu yang dipasang dengan kajang tetap (fix) yang keadaan kekalnya menyukarkan kerja mendayung.

Antara material yg digunakan untuk menghasilkan kajang berlipat ialah anyaman mengkuang terpilih. Mengkuang yang telah layu tidak akan digunakan...


kajang tuan kajang berlipat
kajang saya mengkuang layu...

Baris-baris pembayang di atas ialah versi asal. Namun begitu, versi yang lebih tersohor ialah versi yang diungkapkan oleh Damak kepada bapa Sri Mersing.

kajang Pak Malau kajang berlipat
kajang hamba mengkuang layu...






Saturday, January 25, 2014

BIBLE MELAYU vs DRAMA MELAYU


Dulu drama Melayu hanya disiarkan seminggu sekali. Dikenali sebagai Potret Pekerti. Yang kemudiannya ditukar kepada Drama Minggu Ini. Kemudian jadi pula Drama Swasta

Kini drama Melayu ada setiap waktu. Dan saya dah hampir bersetuju dengan pendapat rakan-rakan yang mengatakan: "Drama Melayu lebih bahaya daripada Bible Melayu"

Thursday, January 23, 2014

SEMALAM DI MALAYA


Keluar masuk penjara sudah menjadi asam garam hidupnya. Media arus perdana pula tidak jemu-jemu meracuni fikiran jelata bahawa dia adalah petualang bangsa. Jiwanya bertambah pilu bila segelintir rakan-rakan mengkhianati perjuangan.

Perjuangan kian getir. Gagasan 'Melayu Raya' yang dibawanya ternyata belum mampu digapai oleh tahap pemikiran umat Malaya.



Ruang juangnya kian sempit. Dia harus berhijrah. Berkelana membina kekuatan.

Dia memilih untuk ke seberang.

Sesudah bertahun-tahun di perantauan, rasa rindu yang membuak-buak memaksanya untuk pulang...

aku pulang
dari rantau
bertahun-tahun
di negeri orang...


Terlalu banyak yang sudah berubah. Dan dia merasa kehilangan yang teramat sangat...

oh di mana
kawan dulu
kawan dulu
yang sama berjuang...


Hanya semalam. Ternyata di sini bukan lagi tempatnya. Dia harus terus berkelana. Bumi Allah ini masih amat luas..

Tuesday, January 14, 2014

PULUT KUNING vs NASI ARAB

Merasakan nasi kunyit (pulut kuning) sebagai makanan yang lebih mulia daripada lain-lain makanan merupakan saki baki jahiliah yg masih ada dalam hati kamu. Akibat daripada kamu dilahirkan sebagai Melayu yang nenek moyangnya menganut Animisme dan Hindu.


Pagi tadi saya tersasul. Bila isteri bersungut kerana saya agak berlengah untuk bersama sahabat-sahabat saya ke program jogging di trek jogging berhampiran Stadium Runtuh, saya berhujah:

"Hehe.. janji memang pukul 7. Tapi kalau ada yg boleh sampai kat sana pukul 7, boleh buat nasi kunyit..." 
Saya berhujah sedemikian krn saya rasa keimanan yang ada pada sahabat-sahabat saya belum lagi mampu menggerakkan mereka untuk terlalu menepati janji.

Melihat riak isteri saya yg nampak tidak begitu gembira dengan hujah tersebut, saya segera buat pembetulan:

"Erk..sori..bukan buat nasi kunyit... tapi pergi makan nasi arab..."


Friday, December 27, 2013

KITA DAN DIA

Foto: Nur Hanim Khairuddin

Ketika Pak Lah menduduki takhta Malaya, blog Che Det menjadi sangat popular. Cara Pak Lah melayani kroni Che Det mengundang kecaman berterusan dari Che Det. Che Det menuduh Khairi sebagai mastermind. 

Pak Lah cuba menjadi amat cool. Dibiarkan kuncu2nya seperti Nazri, Shabery, dan beberapa orang lagi unt menyanggah dan menyerang. Disamping itu beberapa veteran spt Kheng Yaik, Samy dan Rafidah turut sama membela Pak Lah. Utusan juga turut kelihatan menjadi media paling utuh mempertahankan ulul amri.

Pak Lah akhirnya dilihat semakin lemah. Beliau banyak terlibat dlm tindakan yg kelihatan tidak berwibawa. Dikatakan bahawa imej lemah yg terbina kpd sosok Pak Lah adalah hasil sabotaj orang kiri kanannya. Segalanya terserlah bila akhirnya Najib dan Muhyiddin membayangkan tentang perlunya Pak Lah 'berehat'.

Dari latar yg sedemianlah lahirnya puisi 'Kita dan Dia'.



VIDEO LAGU PUISI 'KITA DAN DIA'


KITA DAN DIA

ternyata
sampai suatu ketika
kita akhirnya seakan ingin memaafkan
segala kekejaman
meski dia enggan memohon maaf
mengaku segala khilaf.

bukan kita mudah lupa
atau kabur dalam menilik neraca
hanya kita ingin meraih peluang
menggapai mutiara kebenaran
meskipun nantinya
kita terpaksa beriringan
dan berpimpin tangan
dengan sang petualang.

kita dan dia
bertolak dari pelabuhan berbeza
dengan hasrat berbeza
namun kini bukanlah ketika
untuk kita
mengkaramkan bahteranya.

ZIZIE ALI
13.09.06


http://myzizieali2.blogspot.com/2006/09/kita-dan-dia.html

http://www.youtube.com/watch?v=mH9fbXHmrVc

Thursday, November 21, 2013

RAK

Foto: Tolahah Muda

Sebelum dirobohkan, eloklah kamu melawat bazar Kedai Payang. Singgahlah di kedai audio video agama yang paling lama beroperasi di situ. Dulu dipenuhi kaset dan vcr. Kini dipenuhi cd dan vcd. Ceramah, nasyid, bacaan al-Qur'an, motivasi, panduan ibadah, dan seumpamanya.

Suatu masa dulu, ketika saya masih agak muda, ketika isu 'pemecatan' sedang panas, saya pernah mencari kaset 'penjelasan Anwar' di situ. Jawab penjual di situ: "Kita tak jual kaset politik".

 Baru-baru ini saya singgah lagi di kedai itu.  Sementara menunggu anak saya memilih songkok di kedai sebelah. Tidak banyak yang berubah.  Susun atur perabutnya masih seperti dulu.  Cuma rak-raknya nampak semakin usang dimamah usia.


Saya tertarik dengan satu rak yang terletak di bahagaian paling depan kedai itu. Ada tertampal label yang sedikit terkoyak. Namun tulisan yang agak besar itu masih dapat dibaca dengan jelas: 'Ustaz Azhar'. Oh, hairan bin ajaib!.  Tidak ada sekepingpun cd nasyid dari artis yang bernama Ustaz Azhar di rak itu.  Sebaliknya rak itu dipenuhi oleh cd ceramah terkini Ustaz Kazim Elias.

Pause

Maklumat dari seorg kawan: Dulu rak tersebut penuh dgn cd Ustaz Azhar Idrus. Malah masa itu suara Ustaz Azhar sentiasa berkumandang dari kedai itu. Tiba-tiba suasana berubah. Suara Ustaz Azhar tidak lagi kedengaran. Rak itu juga turut dikosongkan. Kini diganti dengan cd Ustaz Kazim Elias.

Thursday, July 11, 2013

ALBARADEI TIDAK MAKAN BUBUR





Bagi Mubarak, pemerintahan kuku besi perlu dipertahankan untuk menghalang Ikhwanul Muslimin daripada menguasai Mesir.  Namun ElBaradei berkali-kali menyatakan bahawa Ikhwanul Muslimin hanya golongan minoriti.

    
    Sesudah menerima tekanan penunjuk perasaan, Mubarak akhirnya meletak jawatan.  Pilihan raya yang bebas akan dilaksanakan.  Menyedari apa yang diramalkan oleh Mubarak mungkin akan menjadi kenyataan, ElBaradei telah melakukan pelbagai usaha agar Ikhwanul Muslimin dihalang daripada menyertai pilihanraya.  Namun semuanya sudah terlambat. 

    
    Prof Dr Muhammad Mursi al-Hafiz menang dalam pilihan raya presiden.  AlBaradei terkesima.
 
    Namun sebagai orang Arab penganut akidah pragmatisme, AlBaradei  tidak terpengaruh oleh pepatah Melayu ‘nasi sudah menjadi bubur’.   Beliau masih mempunyai satu lagi senjata ampuh.  Tentera!  Matlamat menghalalkan cara...

Sunday, July 07, 2013

KERTAS AM: MENZALIMI DIRI SENDIRI


Penulis kelihatan sedang membelek surat khabar.  Mencari 'Berita Dunia'.
1980.  Aku dalam Tingkatan Enam Atas.  Hanya dalam subjek Kertas Am sahaja yang aku tak pernah ponteng kerana bertekad untuk sekurang-kurangnya lulus dalam dua subjek iaitu Bahasa Melayu dan Kertas Am.  

          Dalam subjek Bahasa Melayu, tak timbul isu ponteng atau tidak kerana subjek itu tidak ada guru.  Kami belajar sendiri.  Calon STP yang akan mengambil subjek ini pun cuma empat orang.  Pada masa itu subjek Bahasa Melayu adalah subjek pilihan.  Bagi kami yang beraliran sains, calon yang ingin mengambil Bahasa Melayu diwajibkan membuang satu subjek sains.  Aku buang subjek Fizik.  Ada kawan aku yang buang subjek Bio dan ada yang buang subjek Kimia.

          Kertas Am adalah subjek wajib.  Wajib lulus untuk dapat sijil penuh STP. Masa itu STP menggunakan sistem gred sijil penuh dan sijil separuh.

          Mahu tidak mahu subjek Kertas Am tidak boleh disambillewa.  Tetapi kami sangat beruntung kerana mendapat seorang guru yang berpengalaman.  Walaupun tidak banyak mengajar, beliau lebih banyak memberi tumpuan kepada soalan spot.

          Untuk bahagian esei, guru kami spot soalan berkaitan kegagalan PBB memainkan peranannya.  Beliau begitu yakin dengan ramalannya kerana isu yang hangat diperkatakkan ketika itu ialah isu pencerobohan Rusia di Afghanistan.  PBB dilihat tidak mampu menghalang segala tindak tanduk Rusia menceroboh negara-negara jirannya.

          Pelbagai tugasan diberi kepada kami berkaitan isu tersebut.  Kami adakan syarahan, debat, forum sehingga segala fakta dan analisis berkaitan isu tersebut cukup 'masak' dalam minda kami.  Sebab itulah bila ada sebuah NGO meminta bantuan kami untuk mengutip derma bagi meringankan beban penduduk Afghanistan yang sedang dizalimi oleh Rusia dan kuncu-kuncunya yang terdiri daripada warga Afghanistan sendiri, kami menjadi begitu bersemangat.  Tetapi amat mengejutkan bila tidak mendapat sokongan Pengetua.

          "Penduduk Afghanistan menzalimi diri mereka sendiri..." kata Pengetua sekolah kami.

          Kejadian itu tamat begitu sahaja.  Kami segera melupakannya.  Sebagai remaja yang happy go lucky, kami tidak rela membiarkan isu tersebut merampas keceriaan hidup kami.  Apa yang penting, dalam peperiksaan STP bagi subjek Kertas Am, ramalan guru kami betul-betul mengena.  Soalannya berbunyi lebih kurang begini: "Tujuan utama Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ditubuhkan adalah untuk mengelakkan berlakunya peperangan.  Bincangkan keberkesanan PBB dalam melaksanakan peranannya."

          Keputusan STP keluar.  Aku dapat sijil separuh. Lulus Kertas Am walaupun tidak berapa cemerlang.  Dan gagal dalam semua subjek sains termasuk Hisab Moden dan Hisab Tambahan.  Cita-cita emak untuk melihat aku menjadi seorang doktor juga turut hancur.

          Aku menerima keputusan dengan penuh keceriaan.  Mengapa?  Kerana telah berlaku satu kejutan.  Aku telah dinobatkan sebagai pelajar terbaik STP sekolah kami bagi subjek Bahasa Melayu.




Friday, June 14, 2013

PULAU KAPAS, PULAU SERAI DAN PASIR RAJA


Ada beberapa pilihan: Pulau Kambing, Pulau Ru Sa, Pulau Bahagia, Pulau Musang, Pulau Kapas, Pulau Serai, Pulau Duyung, Pulau Sekati, Pulau Manis. Majoriti memilih Pulau Kapas. Saya terpaksa akur. Ternyata saya amat demokratik.

Tiba saat yang dinanti kami pun pergilah ke Pulau Kapas.  Oleh kerana Pulau Kapas benar-benar sebuah pulau, terpaksalah kami naik bot. Saya tidak akan menceritakan kisah naik bot dan apa aktiviti yang kami buat di Pulau Kapas.  Saya tahu kamu tidak berminat untuk tahu semua itu.

Cuma kamu perlu tahu bahawa sesudah pulang dari Pulau Kapas, saya pun pos sekeping gambar ke fesbuk dengan sedikit penerangan.  Perenggan pertama entri ini merupakan copy and paste daripada penerangan tersebut.

Ada beberapa orang kenalan fesbuk saya beri komen.  Salah seorang memberi komen pendek: "Pulau Serai".  Saya tak tahu apa maksud sebenar kenalan fesbuk saya itu.  Adakah beliau mencadangkan kami sepatutnya melancong ke Pulau Serai atau hendak memberitahu kami bahawa beliau kenal Pulau Serai.  Sesudah tidak ada idea untuk respon komennya, saya pun sekadar menjawab begini: 

"Kisah benar. Pada tahun 70-an, ada guru baharu yang enggan ditempatkan di Pulau Serai, Dungun. Rela ditempatkan di kampung Pasir Raja, Dungun. Akhirnya menangis bila mendapati untuk ke kampung Pasir Raja perlu naik perahu selama tiga hari, tiga malam sedangkan Pulau Serai bukan sebuah pulau tetapi sebuah kampung berhampiran bandar Dungun. heh heh.."