Sunday, January 29, 2006

Mat Jaeh Stesen Bas

Pakaiannya sentiasa kemas meskipun bukan dari jenama yang mahal. Rambutnya sentiasa tersisir rapi. Dengan sebatang seruling yang sentiasa di bawanya, dia amat mudah dikenali.

Audiennya ialah mereka yang menunggu bas, yang lepak-lepak, yang jual kacang rebus, yang jual limau, dan sesiapa sahaja yang berada di stesen bas ketika dia mengadakan persembahan.
Dia mengadakan persembahan secara solo. Tanpa iringan muzik dan penyanyi latar. Namun sekali-sekali ada budak-budak secara sukarela menjadi penyanyi latarnya. Aku salah seorang daripadanya.

Dia menyanyi bukan mencari glamer. Tidak juga untuk menjadi kaya raya. Tidak. Dia menyanyi kerana dia suka menyanyi. Dia menyanyi kerana dia merasakan dia adalah seorang penyanyi. Seorang penyanyi perlu menyanyi untuk menghiburkan orang lain dan juga menghiburkan diri sendiri.

Mat Jaeh Stesen Bas bukanlah namanya yang sebenar. Sampai hari ini aku tak tahu nama dalam kartu penduduknya. Sebab dia bukan orang kampung aku. Dan aku tak pernah bertanya dan tak mendengar orang memanggilnya selain Mat Jaeh Stesen Bas a.k.a Mat Jaeh a.k.a Mat.
Tak ramai orang bernama Mat Jaeh. Yang ramai ialah Mat Jeng (Md Zain), Mat Robi (Md Radzi), Mat Don (Saadon), Mat Jusoh (Md. Yusoff), Mat Nong (Md. Noor), Mat Adang (Md. Adam), Mat Jan (Md Syafizan).

Begitulah. Tranformasi nama kadang-kadang menenggelamkan nama sebenar seseorang. Contoh lain ialah Pok Ok (Daud), Mek Esah (Aisyah), Mek Jah (Khatijah), Mek Nong (Zainun), Mek Yah (R0gayah, Shamsiah, Salasiah) dan banyak lagi.

Demikian juga nasib yang diterima oleh Mat Jaeh. Namun tanpa perlu membuat kaji selidik yang mendalam, orang mudah menelah asal asul mengapa dia dikenali sedemikian. Lagu yang selalu didendangnya ialah Seraut Wajah, Di Ambang Sore, Gila Bayang dan lain-lain lagu popular Ahmad Jais. Suaranya pula mersik sebijik macam suara Ahmad Jais!

Aku tak pasti sama ada Mat Jaeh Stesen Bas masih hidup atau sudah dipanggil pulang oleh Allah SWT. Kalau sudah tiada, al-Fatihah buat beliau.

7 comments:

abdullahjones said...

dulu. lama dulu. ada seorang perempuan tua yang selalu di situ. bekas cikgu yang kematian anak lelaki. lupa namanya. bila terlihat buah duku, saya selalu teringatkan dia. kerana dia pernah menyuapkan buah itu ke mulut saya. saya selalu tidur di stesyen bas. dulu. sebelum kaya raya.

abdullahjones said...

aiseyman. perempuan tua itu selalu ada di stesyen bas muar.

zizie ali said...

Jones,
Aku juga selalu tidur di stesen bas (masa sekolah menengah). Bersama dua tiga orang kawan sehostel.Dan di stesen bas itu juga ada seorang perempuan gila. Umurnya lingkungan 30-an. Dia juga turut tidur bersama kami. Dan dia banyak menyimpan rahsia kami. :)

sinaganaga said...

Jones,
Stesyen bas Muar ada dua? Yang mana satu?

ZZ,
Kob (yakob), baju kot
kasut bot?

Anonymous said...

salam..
Mek dlm fahaman kelantan,
"Mek"(panggilan tuk perempuan)someone yg istemewa, someone yg dikasihi same too "Awe"tuk guys..

zizie ali said...

naga,
pakai baju kot, kasut bot. gi opis gomen. tadak meneger, jumpe pion.balik, tengok wayang cerita romen.

zizie ali said...

abah_abah,
Mek juga sinonim dengan ibu, emak, ummi, mama.