Sunday, June 11, 2006

padang 6

Setiap tahun, bila melihat para belia mula bergotong royong membina pagar daun kelapa sekeliling padang bola, tahulah aku bahawa kami akan berpesta lagi. Acaranya sudah tentu dikir barat, makyong, wayang kulit, joget, tikam menikam, dan lagu permintaan.

Tika itu. Yang paling aku minat adalah makyong. Selain menikmati persembahan teater tradisional itu, ada beberapa faktor lain yang menyebabkan lahirnya rasa minat tersebut. Antara faktornya ialah kerana aku punya hubungan pribadi dengan hampir semua pelakonnya.Panggung makyong betul-betul di depan rumahku. Ada sebuah pintu kecil disediakan di tepi panggung tersebut yang merupakan laluan rahsia kawasan tapak pesta ke rumahku. Sebenarnya pintu tersebut disediakan untuk memudahkan crew makyong mendapatkan sumber air secara percuma iaitu perigi rumah kami.

Selain menyediakan sumber air kepada mereka, keluarga kami juga tidak pernah lokek menyediakan lain-lain kemudahan. Contohnya, kami membenarkan mereka mengikat buai jaring di pokok duku depan rumah kami. Di atas buai itulah 'hero'(mak aku panggil 'orang muda') selalu bersantai dan kadang-kadang berdengkur di waktu petang. Hero' yang dipanggil 'Syed' dikalangan mereka itu teramatlah kacak. Campuran Melayu Arab. Putih melepak dan berbulu dada lebat. Selalunya dia pegang peranan Putera Raja.

Balik cerita tentang perigi. Terletak di tepi dapur rumah kami. Seperti dapur rumah orang lain juga, dinding dapur rumah kami dari kayu malaya yang pecah-pecah dan berlubang di sana sini. Untuk ke perigi, kami turun melalui lambor dapur yang di buat dari batang nibung.Sepanjang sebulan itu perigi kami menjadi tempat bersiram Raja, Permaisuri, Tuan Puteri, dayang-dayang, pak lawak, dan pak pacak. Biasanya mereka datang berdua. Sekali-sekala tuan puteri dan dayang-dayang datang lima enam orang. Lalu riuh rendah kedengaran gurau senda dan hilai tawa mereka. Loghat sempadan Malaya-Thai mereka agak pekat.

Seperti kami juga, mereka akan masuk ke semak di luar pagar belakang rumah jika hendak qada hajat. Untuk membasuhnya, mereka tidak perlu ke dalam semak. Cukuplah bawa setimba air dan mencangkung di sebalik rumpun-rumpun keladi. Rumpun-rumpun keladi yang tumbuh rapat-rapat itu sudah memadai untuk menjadi pelindung bahagian yang perlu dibasuh. Kalau mereka rasa tidak selesa kerana muka mereka tidak terlindung, mereka juga boleh melakukan proses pembasuhan itu di sebalik banir pokok-pokok duku. Mereka tidak perlu khuatir. Di atas pokok duku hanya sang tupai yang melompat dari dahan ke dahan.
(...bersambung)

Saturday, June 10, 2006

padang 5

Tiap kali ada perlawanan bola sepak, lambor rumah kami seolah-olah grandstand. Dipenuhi oleh penonton-penonton wanita. Anak dara, janda, bini orang. Emak menghidangkan mereka kopi 0. Kakak menghidangkan mereka URTV.

Aku tidak bersama mereka. Aku di tepi padang. Sebelah Rashid Loyar Buruk yang tidak jemu-jemu menyampaikan ulasan selari: "Danabalan melambung tinggi kepada Syukur, Syukur menanduk, dapat kepada Namat, Namat membawa laju, cuba dirampas oleh Pele. Ooo berjaya di situ Namat. Kepada Geoge Best. Ooo silap..silap bukan Geoge Best.. Rahim Jebenglah. Jebeng je sama. Rahim Jebeng menendang ke arah pintu gol. Wooo..kaki Rahim Jebeng belok. Bola masuk dalam dalam rok. Jusuh masuk dalam rok cari bola. Woi..deras sikit oii"

glosari:
jebeng = jambang
rok=semak
deras=cepat